Sunday, September 30, 2012

Surat buat Incik Jodoh bin Takdir

Ke hadapan Incik Jodoh bin Takdir yang bakal saya nikahi,

Assalamualaikum..

Sebenarnya banyak kerja yang perlu saya siapkan di waktu-waktu begini. Akan tetapi, malangnya fikiran saya seringkali terkenangkan awak. Aduh, kadang-kadang boleh rasa macam nak meletup jantung saya bila perasaan ini berlegar-legar di ruang perut. Banyak persoalan yang ingin saya ajukan, terlampau banyak. Namun, saya hanya mampu untuk bertanyakan beberapa cuma. Maaf jika soalan yang terlintas mungkin menimbulkan ketidaksedapan hati awak.

Incik Jodoh,

Siapa awak yang sebenarnya? Adakah kita mengenali antara satu sama lain? Seandainya kita pernah bertemu dan berkenalan sebelum ini, jujur saya meminta maaf kerana selama ini, tidak pernah saya memberikan perhatian terhadap awak. Saya terlalu taksub dengan dunia saya sendiri, terlalu asyik menggila dengan rakan-rakan sehinggakan saya mungkin telah merobek sedikit sebanyak hati dan perasan awak. Saya cuma insan biasa yang berpijak di atas bumi yang penuh dengan kelalaian. Adakalanya saya tidak sedar bahawa orang yang saya nantikan selama ini sudah berada tidak jauh dari saya. Sungguh, saya tidak pernah tahu dan tidak juga pernah perasan. Malah, tidak pernah terlintas di fikiran dan jauh sekali dari kotak hati saya untuk mengimpikan seseorang seperti awak. InsyaAllah, saya berjanji untuk menjadi pendamping setia dan teman terbaik di kala suka mahupun duka untuk awak selepas ini hingga ke hujung nyawa.

Incik Jodoh,

Apakah yang membuatkan saya menjadi pilihan awak? Ya, saya tahu segalanya telah tertulis di Loh Mahfuz dan Dia yang telah menetapkan semuanya. Namun, hati saya menjadi serba salah andai saya tidak dapat menjadi yang terbaik seperti yang awak inginkan. Antara kita, tiada satu pun yang sama. Kita berdua sungguh berbeza, ibarat langit dan bumi. Saya banyak kekurangan dan kelemahan. Saya tidak secantik Lisa Surihani walaupun saya meminati dia. Saya tidak hebat memasak seperti Sheila Rusly walaupun setiap episod ketuk-ketuk Ramadhannya saya ikuti. Saya masih lagi tidak mahir menguruskan diri sendiri apatah lagi urusan rumah tangga kelak yang pastinya beribu kali lebih payah daripada itu. Saya kurang serba-serbi, itu ini. Saya harap awak dapat memberikan tunjuk ajar dan tidak jemu untuk mencari keserasian antara kita.

Incik Jodoh,

Adakah awak sudi membimbing saya ke jalan yang diredhai Yang Maha Esa? Ya, tidak dinafikan saya masih lagi jahil dalam bab agama. Malah, dalam hal kehidupan pun saya masih lagi terkial-kial mencari jalan dan kebenaran. Saya mungkin cerdik dalam hal pelajaran, namun soal agama tidak mungkin saya dapat pelajari sendiri tanpa insan yang sanggup membimbing saya. Adakalanya iman saya goyah dek penangan godaan syaitan yang tidak pernah kenal erti putus asa untuk menghasut dan menyesatkan anak cucu Nabi Adam. Bahkan, dia telah bersumpah sehingga kiamat nanti dia akan merantai seramai mungkin untuk menjadi kawannya di neraka jahanam nanti. Saya tidak mahu menjadi salah sorang daripada mereka, penghuni neraka. Saya berharap agar awak dapat menjadi imam untuk mengetuai solat saya, penyuluh cahaya terhadap jalan saya dan seterusnya ayah terbaik buat anak-anak kita.

Incik Jodoh,

Sanggupkah awak mencintai dan menyayangi diri saya sehingga akhir hayat dan insyaAllah sampai syurga kelak? Saya tidak mengharapkan limpahan kemewahan bergunung-ganang tetapi cukuplah sekadar dapat menampung keperluan seharian kita. Saya juga tidak berkehendakkan awak untuk menjadi lelaki paling sempurna buat saya. Tidak, saya tak perlukan semua itu. Cukuplah bagi saya untuk awak menjadi diri awak yang saya kenali dan tiada apa yang dapat merubah perasaan saya untuk mengubah apa-apa yang ada pada diri awak, InsyaAllah. Cuma yang saya pinta adalah kasih sayang dan cinta yang tidak mungkin saya peroleh daripada orang lain, cuma dari awak seorang. Dengan mencintai diri awak, saya berharap agar saya dapat menjadi insan yang lebih mencintai Tuhan lebih daripada segalanya.

Incik Jodoh,

Rasanya cukuplah setakat itu dahulu persoalan saya. Saya berharap agar kita dapat bersama-sama menempuhi kehidupan yang penuh pancaroba berlandaskan panji dan tiangNya serta mencari keberkatanNya dalam apa jua yang kita lakukan bersama.

Sekian dahulu daripada saya.

P/s: I’m gonna love you ‘til jannah..InsyaAllah..^_^


LIVE LIFE TO THE FULLEST
~yona_afzan~

No comments:

Post a Comment